Tuesday, August 24, 2010

Menyimpan tali pusat untuk kecemasan

TIGA tahun lalu, doktor mengesahkan Philip Meehan, 42, dari West Sussex, Selatan England menghidap penyakit leukemia dan memerlukan pembedahan pemindahan sumsum tulang dengan segera.

Oleh kerana Meehan merupakan anak tunggal, dia tidak mempunyai kesesuaian darah di kalangan ahli keluarga untuk membantunya. Pada masa yang sama, dia mengambil inisiatif mencari penderma melalui Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan Anthony Nolan Trust selama enam bulan. Namun, usaha itu gagal.

"Keadaan menjadi kelam-kabut kerana saya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang. Dalam kebingungan itulah, pihak hospital memberitahu saya mengenai satu perkara baru iaitu rawatan daripada darah tali pusat," katanya.

Kebetulan satu tali pusat ditemui dan ia sepadan dengan darah Meehan, walaupun harapannya tipis tetapi itu adalah satu-satunya penyelesaian buat kelangsungan hayat Meehan.

"Saya begitu bertuah dan bersyukur kerana seorang ibu dan bayi yang tidak dikenali telah menyelamatkan nyawa saya. Setiap hari saya akan memikirkan tentangnya (bayi) yang telah mendermakan sel stemnya.

"Oleh kerana program amanah tersebut merahsiakan maklumat penderma, saya tidak dapat mengetahui siapa mereka sampai bila-bila.

"Namun, saya bersyukur dan berharap mereka dikurniakan kesihatan yang baik pada masa depan seperti mana mereka memberikan 'kehidupan' baru buat saya," katanya yang bekerja sebagai jurutera bunyi.

Tambah Meehan, walaupun tidak 100 peratus pulih tetapi keadaan kesihatannya lebih baik berbanding dahulu.

"Saya masih rasa letih tetapi kekuatan saya kian kembali dan akan kembali seperti normal. Tidak sesihat dahulu tetapi ia hampir normal," katanya.

Itu adalah salah satu cerita kejayaan rawatan menggunakan sel stem yang kian mendapat sambutan. Ia bukan sahaja digunakan untuk merawat penyakit yang kritikal seperti leukemia malah, mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, penyakit hati dan osteoartritis.

Pengasas Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar memberitahu, sel stem merupakan sel utama yang terdapat di dalam badan manusia. Ia boleh berganda daripada satu sel kepada dua, dua kepada empat, empat kepada lapan dan berikutnya.

Selain itu, ia juga boleh berubah menjadi jenis sel dan tisu yang lain. Terdapat dua jenis sel stem manusia iaitu sel stem Hematopoietik (HSCs) dan Mesenkima (MSCs).

PROSES pengambilan sel stem daripada tali pusat bayi bukanlah satu proses yang menyakitkan atau memudaratkan ibu dan bayi.

"Sel stem HSCs hanya boleh berubah menjadi komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih dan platlet manakala sel stem MSCs pula boleh berubah menjadi sel-sel dan tisu-tisu seperti otak, jantung, tulang, saraf dan rawan.

"Sel stem ini boleh datang daripada beberapa sumber seperti tali pusat (MSCs) dan darah tali pusat (HSCs) untuk bayi. Bagi orang dewasa pula sel stem boleh diambil daripada tisu adipos (MSCs), tulang sumsum (MSCs) dan darah periferi (HSCs)," katanya.

Malah, menurut standard antarabangsa, sel stem boleh terus hidup bagi tempoh masa yang tidak terbatas selagi ia disimpan pada suhu -190 darjah Celsius.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails