Wednesday, February 3, 2010

Mencari Kiblat Di Depan Kaabah



Mengetahui arah kiblat adalah kewajipan setiap Muslim di mana sahaja dia berada. Kerana menghadap ke arahnya adalah salah satu syarat sah sembahyang yang tidak ada perselisihan padanya. Bagi umat Islam yang berjauhan dengan Masjdil Haram, terdapat pelbagai kaedah untuk menentukan arah kiblat.
Antara kaedah tradisional ialah kaedah matahari istiwa di atas Kaabah. Kejadian matahari istiwa di atas Kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei, jam 5.16 petang (Waktu Malaysia) dan pada 16 Julai, jam 5.28 petang (Waktu Malaysia). Pada ketika itu, bayang objek tegak di seluruh dunia akan merujuk kepada arah kiblat.
Selain itu, beberapa kaedah yang merujuk kepada kedudukan buruj bintang juga boleh dijadikan panduan menentukan arah kiblat. Contohnya, kedudukan buruj Orion atau buruj Al-Babadour. Pada buruj tersebut, terdapat 3 bintang yang berderetan, iaitu Mintaka, An-Nilam, dan An-Nitak. Unjuran tiga bintang berderetan itu adalah mengarah kepada kiblat.

Kaedah-kaedah ini boleh dijadikan panduan arah kiblat bagi orang Islam yang berjauhan dengan Masjidil Haram. Tetapi apakah penggunaan kaedah-kaedah tersebut masih relevan jika seseorang Muslim sudah berada di dalam Masjidil Haram, malahan binaan Kaabah sudah tersergam di hadapannya?
Perlukah dia mendongak ke langit memerhatikan kedudukan buruj bintang, atau menunggu tarikh kedudukan istiwa matahari, atau bermacam-macam kaedah lain untuk mencari arah kiblat, walhal Kaabah sudah kelihatan di hadapan mata kepalanya? Yang pasti hanya manusia kurang waras yang bersikap betul bendul sahaja yang tetap setia kepada kaedah buruj bintang untuk mencari arah kiblat. Orang yang berfikiran waras sudah pasti akan menghadap ke arah binaan Kaabah sebagai kiblat, kerana binaan itulah yang menjadi matlamat asalnya.
Demikian juga sikap kita dalam mencari kebenaran, dan berinteraksi dengan pendapat-pendapat para ulama. Matlamat kita yang utama dan asas ialah untuk mencari kebenaran melalui petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Untuk itu, kita perlu kepada penunjuk arah yang membantu kita untuk mendapatkan ilmu daripada sumber Al-Quran dan Al-Sunnah. Penunjuk arah itu adalah para ulama.
Apabila seseorang telah bertemu dengan matlamatnya yang asal iaitu dalil-dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah dengan kefahaman yang betul, maka dia umpama seorang yang sudah berada di hadapan binaan Kaabah. Misinya sudah tercapai. Hajatnya sudah tertunai. Lantas, dia mesti berpegang kepada dalil yang sudah jelas dan terang di hadapannya. Dia tidak boleh lagi sengaja meninggalkan dalil yang jelas dan nyata, semata-mata kerana mahu bertaklid kepada orang lain. Inilah pendirian yang diajar oleh Imam Syafie di dalam ungkapan masyhurnya:

Manusia berijmak (sepakat) bahawa sesiapa yang sudah mendapati secara terang dan jelas satu Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak boleh dia meninggalkannya kerana mengikut kata-kata orang lain”.

Dari sini, kita dapat membezakan antara orang yang bertaqlid kepada seseorang imam secara buta, dengan orang yang menjadikan kata-kata ulama sebagai panduan dan pedoman untuk mencari kebenaran.
Orang yang bertaklid buta hanya mengambil pendapat seseorang imam, tanpa mengkajinya apatah lagi mencari dalilnya daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Orang ini ibarat menggantung rantai di leher dan mengikut ke mana arah orang yang mengheretnya. Sikap bertaklid buta kepada seseorang imam, mengikut semua pendapatnya dalam semua permasalahan, malas mengkaji dan mencari dalil untuk dijadikan pegangan, adalah sikap yang tidak patut ada pada seorang yang diberi akal fikiran.
Manakala orang yang diberi taufiq oleh Allah, akan mencari kebenaran dengan belajar ilmu daripada ulama dan tidak menjadikan pendapat mereka sebagai matlamat. Jauh sekali mengangkat teks kata-kata seseorang imam setaraf nas wahyu yang maksum. Matlamat pengajiannya ialah mengetahui dalil Al-Quran dan Al-Sunnah. Peranan ulama ialah membantu dan menjadi panduan untuk mencapai visi sebenar.
Janganlah kita menjadi orang yang teraba-raba mendongak ke langit mencari arah kiblat melalui kedudukan buruj bintang, padahal dirinya sudah berada di hadapan Kaabah.
Demikian perumpamaan yang dibuat oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah. Katanya:

Sesiapa yang berpandukan bintang untuk menentukan arah kiblat, apabila dia sudah menyaksikan kiblat itu, maka sudah tidak ada erti lagi untuk berpandukan kepada bintang”.
Sekian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails