Sunday, January 31, 2010

Tragedi Pesawat MAS Terhempas

Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.

Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.

Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.
“Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar,” ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.

NAHAS MH653 mendapat perhatian ramai termasuk Tengku Mahkota Johor, Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Hussein Onn (kini Tun), Menteri Perhubungan, Mendiang Tan Sri Manickavasagam dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Awang.
________________________________________
Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat ‘raksasa’ apakah yang jatuh ke kampungnya itu.
Kutip duit berguni
Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.
“Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.
“Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya,” katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.

“Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun ‘menyelit-nyelit’lah.
“Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!” kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.
“Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails