Monday, June 21, 2010

Rahsia Kekayaan Syed Mokhtar Albukhary

Semua sudah sedia maklum siapakah tokoh Maal Hijrah pada kali ini. Insan yang dimaksudkan ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Menurut laporan Forbes bulan Oktober 2007, beliau kini berada di ranking 754 senarai billionaire dunia. Di Asia Tenggara ke-27 (2005). Berada di tangga ke-7 dalam Malaysia dan seterusnya menjadi orang Melayu/Muslim terkaya di Malaysia. Beliau terpilih menerima pengiktirafan itu berikutan statusnya sebagai insan muslim terkaya di Malaysia serta jasa yang ditaburnya melalui Yayasan Albukhary. Yayasan ini ditubuhkan bagi membantu pelajar miskin bukan saja dalam negara malah di luar negara, serta baktinya dalam meningkatkan syiar Islam seperti pembinaan Muzium Kesenian Islam dan pembinaan masjid di seluruh negara. Tentu ramai yang terfikir apakah rahsia beliau sehingga berjaya menjadi tycoon walaupun berasal dari keluarga yang miskin dan serba kekurangan. Syed Mokhtar yang pertama kali berkongsi rahsia kejayaannya secara terbuka di dalam akhbar Harian Metro. Antara rahsia beliau ialah selalu amalkan sikap suka menderma dan bersedekah. Berikut adalah antara intipati dari artikel akhbar tersebut serta ulasan peribadi saya. Beliau berkata, sepanjang 40 tahun terbabit dalam bidang perniagaan bermula dari tahun 60-an, beliau sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat, supaya memberi separuh daripada pendapatan untuk membantu keluarga miskin. “Ketika dapat gaji pertama sebanyak RM1,500 sewaktu usia 25 tahun, ibu saya kata RM750 guna untuk adik-adik dan RM750 lagi disedekahkan kepada 15 keluarga miskin dalam kawasan kampung saya. “Daripada situ jiwa saya dah dibentuk oleh ibu untuk membantu golongan susah yang memerlukan bantuan. Sifat dermawan selain dituntut agama Islam (tangan di atas lebih mulia dari tangan di bawah), konsep yang sama turut disarankan dalam The Secret. 'Give Money to Get Money'. Robert Kiyosaki juga memiliki falsafah yang sama. 'If I want money, so I give the money, so it will comes back in multiples' . Begitulah betapa besarnya kuasa memberi. Selain suka menderma wang ringgit beliau turut suka membantu pelajar miskin. Beliau terdorong untuk membantu meningkatkan kemampuan pelajar miskin selepas dirinya sendiri tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. “Saya tumpukan memberi bantuan kepada pelajaran sebab diri saya tak ada peluang, saya nak bayar duit yuran peperiksaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun tak ada duit dan saya tak dapat nak lanjut pelajaran, sampai tingkatan lima saja. “Sebab itu, bila saya tak dapat peluang, saya rasa peluang itu perlu diberikan kepada orang yang tak ada kemampuan.” katanya. Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary ini bertepatan dengan apa yang disarankan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW supaya membantu golongan yang ingin menuntut ilmu. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi dan Al-Hakim,dari Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi mengatakan barangsiapa yang membantu orang yang menuntut ilmu maka akan ditambah rezekinya. Nampaknya Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary memang telah mengamalkan apa yang diketengahkan oleh The Secret dan juga ajaran agama kita. Itulah RAHSIA utama beliau. Oleh itu tidak hairanlah bagaimana beliau boleh menjadi apa yang beliau jadi sekarang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails