Thursday, March 11, 2010

Kashmir Syurga Dunia

Kashmir merupakan antara tempat terindah di dunia. Gunung-ganangnya diliputi salji, lembah-lembahnya dihiasi sungai-sungai yang mengalir deras dan tasik-tasik yang bening airnya. Manakala lereng-lereng gunungnya dipenuhi rumput menghijau yang menjadi makanan ternakan pada musim panas dan menjadi ladang bunga yang memercup indah pada musim bunga.

Kerana keindahannya itu, wilayah ini telah digelar “syurga dunia” dan juga “Switzerland Timur”.

Kedudukan
Wilayah Kashmir terletak di hujung barat banjaran Pergunungan Himalaya. Wilayah ini bersempadan dengan India di selatan, Pakistan dan Afghanistan di barat, dan China di timur.


Sejarah
Kashmir merupakan salah satu wilayah rebutan terkenal di dunia. Apabila British memerdekakan India dan Pakistan pada tahu 1947, Kashmir diberi pilihan untuk menyertai India atau Pakistan. Malangnya, India telah menawan wilayah Kashmir. Perebutan yang berlaku antara India, Pakistan dan China menyebabkan wilayah ini terpecah kepada tiga bahagian.

Pada hari ini, rakyat Kashmir bangun memberontak untuk mendapatkan kemerdekaan daripada India dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka.

Ekonomi
Suasana politik yang bergolak di wilayah Kashmir bagaimanapun tidak menjejaskan aktiviti ekonomi di sini. Aktiviti ekonomi yang utama di sini ialah pelancongan. Setiap tahun, beribu-ribu pelancong mengunjungi Kashmir untuk menikmati pemandangannya yang indah itu. Rakyat Malaysia merupakan antara pelancong yang paling ramai melawat Kashmir sehinggakan Ringgit Malaysia diterima dalam urusan jual beli di sana.

Selain aktiviti pelancongan, Kashmir terkenal sebagai pengeluar bulu kambing Cashmere yang dieksport ke seluruh dunia, pengeluar barangan kraf tangan seperti selendang, permaidani sutera, tembikar, ukiran kayu dan banyak lagi. Penduduk Islam Kashmir terkenal sebagai tukang ukir yang tiada tandingannya dalam menghasilkan ukiran kayu, barangan logam, dan kraf tangan yang rumit dan cantik. Selain berniaga, mereka turut menggembala biri-biri dan lembu di lereng-lereng gunung yang dipenuhi rumput-rumput yang subur.

Walau bagaimanapun, ekonomi Kashmir terjejas dengan teruk apabila gempa bumi yang dahsyat melanda wilayah ini pada tahun 2005 yang menyebabkan lebih 70000 orang terkorban.


Budaya
Nasi dan daging merupakan makanan ruji penduduk Kashmir. Kashmir terkenal dengan masakan daging lembu yang dimasak dengan pelbagai cara. Selain itu Kashmir juga terkenal dengan minuman teh yang dipanggil kahva, iaitu campuran daun teh hijau yang diperkaya dengan pelbagai jenis herba seperti buah pelaga, badam dan kayu manis. Teh ini dihidang bersama gula tanpa susu. Tedapat juga teh lain yang dipanggil shir chai yang dicampur garam dan susu.

Pakaian penduduk pula berbeza-beza. Secara umum, penduduk beragama Islam memakai pheran, sejenis gaun yang besar dan labuh sehingga ke bawah lutut bersama seledang, shalwar dan sejenis kasut yang dipanggil gurgabi.

Tempat-tempat menarik
Aktviti pelancongan di Kashmir tertumpu di Lembah Kashmir kerana di sinilah terserlahnya keindahan alam semula jadi yang tiada tolong bandingnya. Pelancong-pelancong yang ingin melancong ke Kashmir perlu masuk melalui New Delhi dengan permit dari kerajaan India kerana sebahagian besar Lembah Kashmir terletak di bawah kawalan India.

Srinagar
Srinagar ialah bandar utama di Kashmir. Srinagar juga menjadi ibu negeri bagi musim panas, manakala pada musim dingin ibu negeri berpindah ke Jammu.
Srinagar terkenal dengan keindahan semula jadinya. Di sini terdapat Danau Dal dan Nagin yang sangat indah.

Di atas Danau Dal didirikan rumah sampan sebagai tempat penginapan para pelancong yang bertamu di sini. Rumah-rumah sampan dihias dengan begitu cantik. Terdapat kira-kira 2800 buah rumah sampan, setiap satunya memiliki keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.

Kebiasaannya, rumah sampan terdiri daripada tiga bilik dengan masing-masing bilik mempunyai bilik air sendiri. Dalam setiap rumah disediakan seorang pembantu yang akan mengemas rumah dan memasak makanan.

Keindahan Srinagar boleh dinikmati dengan berdayung sampan di Danau Dal atau di Sungai Jhelum yang membelah kota Srinagar. Dari situ para pelancong akan menikmati panorama alam yang dikelilingi pergunungan yang diliputi salji, yang memisahkan Kashmir dari dunia luar.

Di pinggir tasik, tersedia sampan-sampan yang terhias indah yang dipanggil shikara yang membawa para pelancong ke rumah sampan atau ke tempat-tempat membeli belah terapung yang memenuhi tasik. Selain shikara, sampan-sampan biasa juga tersedia untuk digunakan oleh para pelancong yang ingin berdayung sendiri sambil menikmati pemandangan waktu petang dan senja yang mengasyikkan di Srinagar.


Srinagar juga terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni permaidaninya. Di sini terdapat kilang permaidani yang menunjukkan cara-cara membuat permaidani. Permaidani buatan tangan di sini dijual dengan harga yang berbeza-beza, bergantung kepada tempoh masa membuatnya, misalnya sebulan, tiga bulan, enam bulan atau sehingga setahun. Semakin lama masa membuatnya, semakin mahal harga permaidani itu.

Gulmarg
Gulmarg terletak tidak kira-kira 60 kilometer dari Srinagar. Gulmarg terletak di kawasan tinggi yang sentiasa di selubungi salji. Kawasan ini termasuk antara tempat bermain ski dan glof yang terbaik di dunia.

Di sini tersedia aktiviti seperti menaiki kereta kabel ke puncak gunung, meluncur salji, menunggang kuda, bermain ski dan bermain golf.

Gulmarg dikenali sebagai Meadow of Flowers iaitu padang rumput yang dipenuhi bunga.

Sonamarg
Sonamarg yang disebut meadow of gold (padang rumput emas) menawarkan pemandangan glasier yang sangat indah dan padang rumput yang dipenuhi bunga-bungaan. Pohon-pohon pain, fir dan birch memenuhi lembah-lembah di Sonamarg.

Fakta
1. Jumlah penduduk 12 juta orang. 85 peratus beragama Islam, selebihnya Hindu, Buddha dan Sikh.
2. Ibukota: Srinagar (musim panas) dan Jammu (musim dingin).
3. Keluasan Wilayah 222.236 kilometer persegi.
4. Sumber ekonomi: Pelancongan, pertanian seperti penanaman padi, jagung dan epal, kraf tangan seperti permaidani, ukiran kayu, selimut dan selendang.
5. Bahasa: Kashmiri, Urdu, Hindi dan Inggeris
6. Makanan ruji: Padi

(Artikel ini telah tersiar dalam Dewan Pelajar April 2009)

Sumber : http://bacalah-sayang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails