Monday, June 21, 2010

Irfan Khairi : Jutawan Muda

DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja setiap hari. Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu gelaran yang diidami ramai. Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal 30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet. Menurut Irfan, dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25 tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu. Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur, tetapi juga medan untuk 'membuat duit'. Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan. Bezanya, ia menerusi perantaraan Internet. Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia. "Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet, saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan Internet. "Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini. Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer. Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang disangka? Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja." Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan sebagainya. "Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah berkenaan perniagaan Internet. "Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari." Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini. "Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna Internet hanya 500 juta orang. "Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya. "Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian," katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet. Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya rahsiainternet.com, ideabubble.com dan slash.com.my. Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah. "Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik. "Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga. Saya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini. Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan, dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu. Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya. "Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya. Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun lagi. Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi. Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian multimedia di Britain. "Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen. "Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74 peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan. Perniagaan Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya. "Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails