Friday, October 1, 2010

Saintis buktikan Nabi Musa belah laut

Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil. Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.
Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.
Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.
Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.
Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.
Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.
Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE.

Kawah tahi bintang gergasi di Mesir

Sebuah kawah tahi bintang baru yang dikesan menerusi bantuan enjin carian Google Earth mungkin membantu saintis menentukan kesan hentaman objek dari angkasa lepas itu pada masa depan. Batu tahi bintang itu yang dikenali sebagai kawah Kamil sedalam 16 meter dan selebar 45 meter.
Ia terletak di sebuah gurun di selatan Mesir dan dipercayai terbentuk akibat hentaman batu tahi bintang seberat 10 tan yang bergerak pada kelajuan 12,070 kilometer sejam.
Kawah tersebut dikesan pada 2008 oleh seorang pakar galian, Vincenzo De Michele dari Milan, Itali yang kemudian melancarkan ekspedisi selama dua minggu melibatkan 40 orang pada Februari lalu.
Saintis-saintis percaya, ia merupakan antara kawah muda yang dianggarkan kurang sepuluh ribu tahun.

Ladang keluar tiga juta buah labu

Sebuah ladang milik David Bowman Spalding, Britain mengeluarkan tiga juta buah labu untuk digunakan pada perayaan yang sinonim dengan perayaan hantu, Halloween, .
Pekerja-pekerja di ladangnya perlu memproses kira-kira 100,000 buah labu pada setiap hari semasa proses menuai selama 30 hari.
Bowman yang berumur 62 tahun dan mempunyai 37 tahun pengalaman menanam buah labu mengaku dia tidak sabar-sabar untuk menanti musim menuai berakhir pada 1 November ini.
"Kami amat sibuk buat masa ini untuk melakukan apa saja untuk Halloween dan saya akan berasa gembira apabila semuanya berakhir pada November yang pertama," katanya.
Labu-labu ditanam di ladangnya yang seluas kira-kira 203 hektar

Badak air berwarna merah jambu

Seekor badak air jantan yang berwarna merah jambu ditemui di Masai Mara, Kenya.
Dua jurugambar hidupan liar, Will dan Matt Burrard-Lucas dari Britain yang merakamkan gambar badak air itu mengatakan “Haiwan itu keluar ke daratan selama kira-kira 10 minit atau kurang daripada itu. Selepas itu, kami mengesan kepala haiwan itu yang berwarna merah jambu berada di atas permukaan air setiap beberapa minit semasa ia mahu menyedut udara.
“Ia juga amat malu dan selepas mengesan kehadiran kami, haiwan itu bersembunyi di belakang ibunya sebelum hilang ke dalam air,” kata Will.

Planet digelar Bumi Baru ditemui

Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.
Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.
Bintang itu diberi nama Gliese 581.
Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.
Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.
Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.
Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.
Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.
Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.
Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.
Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.
Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii.
Related Posts with Thumbnails